
KUALA LUMPUR, 11 APRIL – Aspirasi “Komuniti Aktif, Wilayah Progresif” terus diperkukuh menerusi pelancaran Program Senaman Aerobik Komuniti Wilayah Persekutuan 2026 (PSKWP2026), hari ini.
- Program aerobik percuma membudayakan gaya hidup sihat dan mengurangkan beban kos sara hidup penduduk.
- Pelaksanaan mingguan sepanjang tahun dengan peruntukan kira-kira RM400,000; terbuka kepada semua lapisan masyarakat.
- Dilaksanakan serentak di PPR dan Perumahan Awam, diperluas ke 44 lokasi hujung minggu, melibatkan kerjasama pelbagai agensi.
Program berkenaan dilancarkan di Dataran Perumahan Awam Sri Sabah 3B, Bandar Tun Razak, dan merupakan inisiatif Jabatan Wilayah Persekutuan menerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan bagi membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti, khususnya di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata, program ini dilaksanakan secara percuma bagi mengurangkan beban kos sara hidup penduduk, selain memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat termasuk wanita, lelaki, kanak-kanak dan warga emas untuk mengamalkan gaya hidup aktif.
Tambah beliau, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM400,000 bagi menjayakan program berkenaan yang akan dilaksanakan secara mingguan sepanjang tahun.
“Jadi ini selaras dengan program Bangun KL yang telah kita lancarkan, kita nak penduduk di sini khasnya Sabtu dan Ahad, mereka bangun awal, mereka melakukan aktiviti senaman bersama. Isu kedua yang kita nak tangani dengan program ini adalah kadar obesiti yang tinggi di kalangan warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Dengan senaman ini, saya berharap mereka akan ubah gaya hidup dan menggunakan program ini sebaiknya,” katanya.
Program senaman aerobik itu berlangsung serentak di 25 lokasi PPR dan PA di Kuala Lumpur dan akan diperluas pada hujung minggu melibatkan 44 lokasi, iaitu 33 di Kuala Lumpur, Putrajaya (enam) dan Labuan (lima).
Majlis turut dihadiri Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud serta Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin.
PSKWP2026 dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Persatuan Sukan Kecergasan Malaysia, Majlis Perwakilan Penduduk, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan.
Program ini dijangka menjadi inisiatif komuniti berskala besar serta program ‘signature’ Wilayah Persekutuan dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat secara berterusan.