BALING, 13 Februari- Seorang lelaki warga Myanmar ditemukan mati selepas dipercayai bergaduh dengan rakan sekerjanya di sebuah kawasan ladang tembikai di Batu 7, Binjul, Kuala Ketil.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata pihaknya menerima maklumat daripada seorang pengurus ladang yang memaklumkan dua pekerja lelaki warga asing itu telah bergaduh dan salah seorang daripadanya mati, seorang lagi tercedera.
Terdahulu, pengurus ladang itu memaklumkan bahawa dirinya menerima satu mesej pesanan suara yang memberitahu tentang pergaduhan berkenaan, namun individu yang terbabit tidak dapat dipastikan.
Tambahnya, kesemua pekerja ladang turut melarikan diri.
"Pasukan Forensik D10, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK Kedah) diketuai oleh ASP Nor Hidayah Othman telah hadir ke tempat kejadian. Mangsa yang dikenali sebagai Kyuk Sikay, 36 tahun, ditemukan mati di dalam lubang pembuangan sampah di ladang tersebut. Mangsa memakai baju berwarna putih dan seluar pendek berwarna merah."
"Pemeriksaan awal terhadap tubuh mangsa mendapati tujuh kesan tikaman di bahagian dada dan satu kesan tikaman di bahagian rusuk kiri," kata Shamsudin dalam kenyataan, di sini hari ini.
Unit anjing pengesan (K9) turut dipanggil untuk membantu siasatan.
"Pengesanan di kawasan lokasi kejadian bersama seekor anjing dalam radius 500 meter, daripada tempat mangsa ditemukan. Menerusi itu, polis telah menjumpai lima pakaian yang disyaki ada percikan darah telah direndam di dalam baldi, ditemui di belakang khemah penginapan," tambahnya.
Menurut Inspektor Kesihatan Baling, mangsa dipercayai mati dalam tempoh kurang daripada 24 jam.
Operasi memburu suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.