(Anggota bomba menggunakan pengusung untuk membawa lelaki warga emas turun selepas dia diserang angin ahmar
ketika beriadah di Bukit Wawasan, Puchong hari ini/ Foto Ihsan JBPM)
PUCHONG, 7 Julai- Seorang lelaki berusia lebih separuh abad berdepan detik cemas selepas diserang angin ahmar ketika mendaki di Bukit Wawasan sebelum diselamatkan anggota bomba hari ini.
Lebih memburukkan keadaan, mangsa dilapor mengalami lumpuh.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7.31 pagi dan tiba di lokasi enam minit kemudian.
Katanya, sebaik tiba, bomba mendapati mangsa berusia 61 tahun mengalami lumpuh di sebelah kiri badan dipercayai terkena serangan angin ahmar.
"Mangsa dalam keadaan sedar serta boleh bercakap dan usaha membawa mangsa turun dilakukan menggunakan pengusung," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mangsa telah dihantar ke hospital untuk rawatan.
(Bomba menyelamatkan seorang lelaki yang diserang angin ahmar ketika sedang beriadah di
Bukit Wawasan, Puchong/ Foto Ihsan JBPM)