fb fb fb fb fb

Wanita pemacu pembangunan negara- Nancy Shukri

Datuk Seri Nancy (tengah) pada Program Pemerkasaan Wanita 2025 Peringkat Daerah Kuching yang berlangsung di Yayasan Sarawak

KUCHING, 10 Mei- Wanita kini menjadi pemacu utama pembangunan bukan sahaja di rumah, malah di tempat kerja serta dalam masyarakat secara keseluruhan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementeriannya memberi fokus kepada tiga aspek utama dalam usaha memperkasa wanita, iaitu memperluas akses pendidikan dan latihan sepanjang hayat, meningkatkan penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan, serta melindungi hak dan kebajikan golongan tersebut.

“Tumpuan kita adalah untuk memastikan wanita tidak bergantung sepenuhnya kepada individu lain seperti suami, bapa atau adik-beradik. Sebaliknya, mereka perlu diperkasakan dengan kemahiran sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Pemerkasaan Wanita 2025 Peringkat Daerah Kuching yang berlangsung di Yayasan Sarawak, pagi tadi.

Tambah beliau, melalui program anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu, golongan wanita dapat meningkatkan keyakinan diri serta menimba pengetahuan dalam bidang keusahawanan, pentadbiran dan teknologi.

“Pemerkasaan bukan sekadar dalam aspek ekonomi, tetapi juga membabitkan kekuatan dalaman. Kegagalan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan para usahawan wanita agar lebih peka terhadap risiko penipuan dalam talian dan memahami program digital sebelum melibatkan diri sepenuhnya dalam platform tersebut.

Program berkenaan dihadiri lebih 400 peserta, terdiri daripada usahawan MARA Kuching, penerima pembiayaan dan bantuan MARA, serta golongan asnaf.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE