KUALA LUMPUR, 23 Oktober – Sebanyak 100,000 golongan wanita disasarkan menyertai program Wanita MyWira Accelerator bagi merapatkan jurang gender tenaga kerja, menjelang tahun 2030.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, sejumlah 1,000 wanita akan dilatih di bawah program MyMahir pada tahun pertama, dengan sasaran kadar penempatan kerja sebanyak 80 peratus dalam tempoh enam bulan.
Usaha tersebut turut disokong pelaburan bersama bernilai RM15 juta serta penglibatan 1,000 syarikat yang komited melaksanakan amalan kerja fleksibel dan Program Returnship.
"Kita ingin melangkah lebih jauh daripada sekadar pengecualian dan insentif dengan melaburkan dana secara langsung.
"Di bawah Kementerian Sumber Manusia melalui Talent Corporation Malaysia Berhad dengan kerjasama Forum Ekonomi Dunia akan memperuntukkan sehingga RM15 juta pada tahun pertama, melalui model pelaburan bersama bagi menampung sebahagian kos gaji dan ini dilakukan dalam fasa 3.0." katanya ketika berucap dalam perasmian Wanita MyWira Accelerator di Sime Darby Convention Centre di sini.
Program berkenaan menjadikan Malaysia sebagai negara ASEAN pertama yang menyertai rangkaian global Gender Parity Accelerator (GPA).
Program tersebut melatih wanita dalam sektor berimpak tinggi seperti kecerdasan buatan (AI) dan tenaga boleh baharu, seiring dengan keperluan ekonomi masa depan.
Inisiatif itu turut disokong Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, selaras dengan Dasar Wanita Negara 2025–2030 dan visi Malaysia MADANI ke arah tenaga kerja yang inklusif dan mesra keluarga.