PUTRAJAYA, 12 Ogos - Visa Masuk Berganda (MEV) yang diperkenalkan kepada pekerja warga Bangladesh suatu pengiktirafan terhadap sumbangan tenaga kerja negara itu dalam pembangunan ekonomi Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemudahan tersebut membolehkan mereka pulang bertemu keluarga tanpa menjejaskan pekerjaan di negara ini.
“Itulah sebabnya saya fikir Menteri Dalam Negeri bersama Menteri Sumber Manusia telah bersetuju mengenai kemudahan visa berulang kali ini, supaya pekerja Bangladesh boleh pulang bertemu keluarga dan berasa selamat dengan pekerjaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Prof Dr Muhammad Yunus selepas mengadakan mesyuarat dua hala di Kompleks Perdana Putra, di sini.
Pertemuan tersebut turut membincangkan usaha memperkukuh hubungan kedua-dua negara termasuk kerjasama dalam pelaburan, perdagangan, pendidikan, budaya, tenaga, telekomunikasi, halal, STEM, penyelidikan serta semikonduktor.
Datuk Seri Anwar memaklumkan, isu serantau Myanmar turut disentuh dalam pertemuan tersebut.
"Menteri Luar akan menyelaras pasukan bersama Indonesia, Filipina dan Thailand bagi melawat negara itu dalam masa terdekat untuk mengusahakan keamanan dan menyelesaikan isu kemanusiaan," ujarnya lagi.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Bangladesh atas peranan mereka dalam usaha keamanan serantau serta bantuan kepada golongan kurang bernasib baik di peringkat global.