fb fb fb fb fb

Vaksinasi kanak-kanak 5-11 tahun bermula Februari

KUALA LUMPUR, 20 Januari - Kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun akan mula menerima vaksin Pfizer COVID-19 seawal Februari ini selepas bekalan vaksin diterima bermula 31 Januari.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, tempahan janji temu vaksinasi untuk kumpulan umur tersebut juga akan bermula pada 31 Januari ini.

Buat permulaan, tempahan dibuka kepada kanak-kanak yang tinggal di Lembah Klang, terlebih dahulu.

"Pelancaran program vaksinasi kanak-kanak berusia 5 hingga bawah 12 tahun akan diadakan pada 3 Februari di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur.

"Sistem tempahan janji temu melalui MySejahtera akan mula dibuka pada penghujung Januari. Sebagai permulaan, ibu bapa boleh mula mendaftarkan anak sebagai tanggungan dalam aplikasi MySejahtera mereka," kata Khairy dalam sidang media Kementerian Kesihatan (KKM) di Parlimen.

Khairy berkata jumlah dos bagi kanak-kanak ialah satu pertiga daripada dos yang digunakan untuk individu dewasa.

Dua suntikan dos vaksin diperlukan dengan sela masa lapan minggu selepas dos pertama.

Kata Khairy, keputusan itu dibuat berdasarkan data, maklumat dan pandangan Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) dan panel penulis Garis Panduan Klinikal Vaksinasi COVID-19 Kanak-Kanak KKM.

Beliau juga memaklumkan, KKM tidak mewajibkan pemberian vaksin bagi kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun.

Ini selaras pendekatan kementerian iaitu mendidik ibu bapa tentang keberkesanan dan keselamatan vaksin COVID-19.

 

Media Baharu