UUM-LPNM meterai MoU perkukuh industri nanas

Datuk Seri Mohamad Sabu (tengah) menyaksikan Naib Canselor UUM, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed (dua, kanan) bertukar dokumen MoU dengan wakil LPNM pada MAHA 2026 hari ini

SERDANG, 3 September- Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) yang dijangka mencipta nilai keseluruhan RM16.2 juta menerusi pelbagai inisiatif strategik bagi memperkukuh industri nanas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama merangkumi Projek SULAM Nanas, Projek Baja Nanas dan pembangunan bersama Persatuan Komuniti Nanas Kubang Pasu.
  • Ditandatangani sempena MAHA 2026 dan disaksikan Menteri, mengukuhkan hubungan antara institusi, agensi kerajaan, industri dan komuniti.
  • UUM menekankan sokongan kepada keterjaminan makanan, pembangunan ekonomi komuniti dan transformasi industri melalui penyelidikan serta inovasi.
  • Produk baja foliar dibangunkan menggunakan buah nanas rosak atau gred rendah serta daun dan batang melalui teknologi fermentasi mikrob.

Kerjasama itu melibatkan Projek SULAM Nanas, Projek Baja Nanas dan pembangunan industri bersama Persatuan Komuniti Nanas Kubang Pasu (PKNKP).

Pemeteraian MoU itu berlangsung bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini hari ini dan disaksikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) UUM, Prof Madya Dr Shuhymee Ahmad berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen universiti dalam menyokong agenda keterjaminan makanan, pembangunan ekonomi komuniti dan transformasi industri menerusi penyelidikan serta inovasi.

“Ia juga selari dengan aspirasi MAHA 2026 yang menekankan penciptaan nilai dalam sektor agromakanan, khususnya usaha mentransformasikan hasil pertanian daripada sekadar komoditi mentah kepada produk dan perkhidmatan bernilai tambah lebih tinggi.

“Menerusi MoU ini, UUM dan LPNM berpotensi memperluas kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) pemindahan teknologi, pembangunan modal insan, latihan, khidmat kepakaran, inovasi serta pengkomersialan hasil penyelidikan,” katanya.

Dr Shuhymee berkata kerjasama itu turut memberi peluang kepada pelajar dan penyelidik UUM untuk terlibat secara langsung dalam menyelesaikan permasalahan sebenar industri nanas.

Kerjasama UUM-LPNM itu dijangka memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi, agensi kerajaan, industri dan komuniti, selain meningkatkan nilai tambah hasil pertanian serta daya saing industri nanas.

Produk baja foliar yang dibangunkan menerusi kerjasama UUM dan LPNM turut diketengahkan pada MAHA 2026.

Produk itu menggunakan buah nanas rosak atau gred rendah serta bahagian tanaman seperti daun dan batang melalui teknologi fermentasi mikrob.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.