KUALA LUMPUR, 26 Mac - Usahawan perlu menguasai teknologi baharu khususnya pendigitalan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus yang sedang berkembang pesat.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pendigitalan juga dapat membantu produk-produk dari luar bandar menembusi pasaran yang lebih luas.
Jelasnya bagi mencapai hasrat itu, kerjasama strategik antara usahawan dengan agensi kerajaan perlu dieratkan supaya setiap inisiatif yang dilaksana dapat diterjemahkan.
(Perdana Menteri merasmikan Hari Usahawan Negara 2022)
"Kita sedang menghadapi Revolusi Industri Ke-4 atau IR4.0 yang membawa pelbagai teknologi baharu terutamanya pendigitalan. Kerajaan menyedari perkembangan ini dan persediaan rapi telah dibuat", katanya semasa merasmikan Hari Usahawan Negara (HUN) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, malam ini.
"MyDIGITAL merupakan satu inisiatif yang mencerminkan aspirasi kerajaan mentransformasikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang berpacukan pendigitalan dan sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital. Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar Revolusi Perindustrian Ke-4 (4IR) menggariskan usaha dan inisiatif dalam mencapai aspirasi MyDIGITAL.
Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus membantu golongan usahawan untuk meluaskan perniagaan mereka melalui pelbagai inisiatif yang sedang dan akan dilaksanakan.