KUALA LUMPUR, 2 November- Usaha menangkis penyebaran maklumat dan kandungan tidak benar selain berniat untuk memfitnah akan terus dipergiat.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata kebebasan media yang didokong bukan tiket untuk pencipta kandungan berkongsi kandungan bersifat memecah-belah, selain berpotensi merencatkan inisiatif kerajaan.
Justeru, beliau mahu peranan jentera komponen Kerajaan Perpaduan diperkasa demi memastikan kebersamaan dalam kalangan akar umbi agar berfungsi untuk menyebar luas maklumat sahih berkaitan inisiatif kerajaan termasuk Belanjawan 2024.
"Kita ingin pastikan kebebasan media itu wujud. Kebebasan bersuara itu ada dan dapat dinikmati tetapi bukan kebebasan untuk menabur fitnah dan buruk sangka tidak berasas terutama apabila membabitkan dasar kerajaan", katanya.
Beliau berucap pada sesi Forum Belanjawan 2024 anjuran Penerangan UMNO dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Digital dan Kementerian Kewangan di ibu negara.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.