fb fb fb fb fb

UPM tawar pelbagai program pengajian pertanian, sejajar hasrat kerajaan

Datuk Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkunjung ke pameran pertanian menggunakan AI pada program Jom Masuk U Zon II di UPM/Foto UPM

SERDANG, 13 Mei- Universiti Putra Malaysia (UPM) menawarkan pelbagai program pengajian berkaitan bidang pertanian dan keterjaminan makanan, termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pertanian pintar.

Langkah itu sejajar dengan hasrat negara untuk memperkukuh bekalan makanan negara.

Naib Canselor UPM Datuk Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah dalam satu kenyataan berkata, Program Jom Masuk U Zon II dilihat mampu memberi maklumat mengenai program pendidikan yang ditawarkan oleh Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Selain itu, ia juga turut menampilkan peranan UPM dalam agenda pertanian terutamanya ke arah agenda sekuriti dan keterjaminan makanan.

"Kita ingin memposisikan UPM sebagai peneraju dan pemain utama dalam membantu isu pertanian negara dan kita mahu pelajar untuk mengikuti program pengajian kita agar dapat membantu mengatasi isu negara masa kini," katanya ketika berucap merasmikan program tersebut yang diadakan di Pusat Kebudayaan dan Keseniaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM, di sini.

Program yang menerima seramai 12,000 pengunjung sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan itu turut mempamerkan pertanian menggunaan kecerdasan buatan (AI), pertanian pintar menggunakan data tepat AI, pertanian digital berkembar oleh Putra Science Park (PSP) serta sistem sensor pemantauan kualiti air bagi peternakan ikan Siakap oleh Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS), UPM.

Inovasi pertanian itu selari dengan saranan Perdana Mentari Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa penguasaan teknologi AI dan pendigitalan dalam semua bidang termasuk dalam bidang pertanian.

Dalam pada itu beliau mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (UPU) atas kerjasama dan sokongan yang diberikan.

"Komitmen pihak UPU dalam menyediakan peluang kepada generasi muda untuk melengkapkan pendidikan tinggi adalah sangat penting dalam menjayakan gagasan Malaysia Madani," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI