fb fb fb fb fb

UPKK: 1,700 calon di Melaka peroleh 8A

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman dan guru-guru KAFA Melaka bergambar bersama pada Majlis Pengumuman Keputusan UPKK 2023 di Auditorium Masjid Al Azim, di sini, hari ini.

MELAKA, 18 April- Sebanyak 1,700 calon Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2023 di Melaka memperoleh keputusan cemerlang 8A iaitu peningkatan 21.55 peratus berbanding 1,050 calon pada 2022.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata gred purata negeri (GPN) UPKK 2023 jugameningkat 0.16 kepada 1.71 berbanding 1.87 pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata susulan keputusan UPKK 2023 itu, Melaka berjaya mengekalkan pencapaian keputusan keseluruhan lulus 100 peratus selama 13 tahun berturut-turut.

"Pada tahun lepas, sebanyak 7,978 murid Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Rendah JAIM dan Institusi Pendidikan Islam Swasta (IPIS) telah berdaftar sebagai calon UPKK di Melaka.

"Bagaimanapun, jumlah calon yang hadir menduduki UPKK sebanyak 7,888 murid manakala selebihnya tidak dapat hadir atas pelbagai faktor," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pengumuman Keputusan UPKK Negeri Melaka 2023 yang turut dihadiri Pengarah JAIM Datuk Badaruddin Mohd Kassim di sini hari ini.

Menurut Rahmad daripada keseluruhan jumlah calon yang berdaftar, 4,544 murid ialah calon dari daerah Melaka Tengah, Alor Gajah (1,966 murid) dan Jasin (1,468 murid).

Beliau berkata subjek Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam mencatatkan kelulusan 100 peratus manakala subjek Al-Quran (99.94 peratus), Ulum Syariah (84.49 peratus), Jawi dan Khat (93.33 peratus), Sirah (87.39 peratus), Adab (88.59 peratus) serta Lughatul Quran ( 79.12 peratus).

Dalam pada itu seramai 38 murid cemerlang UPKK di negeri itu akan diberi anugerah kecemerlangan berupa wang tunai RM150 dan sijil setiap seorang, seperti yang dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Peperiksaan Sekolah Agama Melaka (JKPSAM) baru-baru ini.

"Pelajar terbaik peringkat daerah pula akan menerima sagu hati kecemerlangan RM300 dan sijil manakala pelajar terbaik peringkat negeri akan menerima sagu hati kecemerlangan RM500 dan sijil.

"Selain itu, lima sekolah yang memperoleh pencapaian terbaik juga akan menerima hadiah kecemerlangan RM1,000 dan sijil," katanya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI