fb fb fb fb fb

Undi18: Hampir setengah juta pelajar IPT layak mengundi

SHAH ALAM, 27 Januari - Seramai 452,559 individu atau 38 peratus daripada 1.2 juta penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di bawah seliaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) merupakan pengundi muda berumur antara 18 dan 20 tahun selari dengan kelulusan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019.

Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, KPT berperanan mempersiapkan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) yang matang dan berketerampilan dalam sudut pandangan politik.

Tambahnya, golongan itu perlu diterapkan dengan pemikiran serta pemahaman yang betul tentang suasana politik negara, termasuk mempersiapkan mereka sebagai pelapis kepimpinan negara.

“Bahkan dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada 2019 yang membuang Seksyen 15(2)(c), pelajar sewajarnya dibimbing untuk berpolitik di kampus sebagai praktikal terbaik sebelum mereka keluar ke medan masyarakat.

“Dalam laporan interim Kajian Memprofil Literasi Politik Pelajar IPTA yang dilaksanakan KPT tahun lepas, dapatan kajian menunjukkan bahawa literasi politik dalam kalangan pelajar boleh ditingkatkan lagi melalui pemantapan dan pengukuhan elemen nilai, iaitu penghayatan serta pelaksanaan dasar dan akta sedia ada di pelbagai peringkat,” katanya.



Noraini berkata demikian dalam ucapan perasmian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) serta Pelancaran Buku Laporan Pembentukan Kajian DNA UiTM di sini, hari ini.

Terdahulu dalam majlis MoU tersebut, UiTM diwakili Naib Canselornya Prof Dr Roziah Mohd Janor, manakala SPR diwakili Pengerusinya Datuk Abdul Ghani Salleh.

Media Baharu