SHAH ALAM, 2 Oktober – UiTM Chamber Choir (UCC) dari Fakulti Muzik, Universiti Teknologi MARA (UiTM) sekali lagi mengharumkan nama negara apabila mencipta sejarah di pentas antarabangsa.
Dalam pertandingan African Asia Pacific Choir Games 2025 anjuran Interkultur yang berlangsung di Mauritius dari 27 September hingga 1 Oktober 2025, UCC membawa pulang pingat emas dalam dua kategori iaitu Chamber Choir dan Equal Voice.
Lebih membanggakan, UiTM Chamber Choir turut dianugerahkan gelaran tertinggi Grand Prix de Nation bagi kedua-dua kategori tersebut iaitu pengiktirafan eksklusif yang hanya diberikan kepada koir terbaik daripada keseluruhan pertandingan.
Ia membuktikan UCC bukan sahaja juara kategori, tetapi juga diiktiraf sebagai antara yang paling unggul dalam kalangan 53 koir dari 14 negara yang mengambil bahagian.
Kejayaan ini digalas oleh 25 orang pelajar Fakulti Muzik UiTM di bawah pimpinan konduktor dan pensyarah, Maryann Magdalena, serta diiringi oleh Dekan Fakulti Muzik, Prof. Dr. Tazul Izan Tajuddin.
Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, FASc, menekankan bahawa kemenangan ini adalah bukti kemampuan anak bangsa bersaing di pentas dunia.
“Kemenangan ini bukan sekadar sebuah trofi, tetapi bukti bahawa bakat anak bangsa mampu bersaing di pentas dunia.
"UiTM Chamber Choir telah membawa suara Malaysia ke persada antarabangsa, sekali gus mengangkat martabat UiTM dan negara tercinta,” katanya.
Pihak universiti turut merakamkan penghargaan kepada semua yang menyokong, termasuk pensyarah, jurulatih, fakulti, dan seluruh warga UiTM yang menjadi pendorong sejak awal perjalanan UCC sehingga berjaya ke pentas antarabangsa.
UiTM Chamber Choir menegaskan bahawa kejayaan ini bukan sahaja mengangkat nama fakulti dan universiti, tetapi juga menjadi inspirasi kepada seluruh mahasiswa untuk terus mengasah bakat dan berdaya saing di peringkat global.