
KOTA TINGGI, 6 September – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berjaya memadam kebakaran hutan membabitkan kawasan seluas 17 hektar di kawasan Perkuburan Cina, Bukit Pelali, Pengerang, Johor, petang tadi.
- Panggilan kecemasan diterima kira-kira pukul 5 petang; jentera tiba di lokasi dalam masa tiga minit.
- Operasi pemadaman digerakkan oleh pasukan dari BBP Sebana Cove dan BBP Punggai, melibatkan 12 anggota dan dua jentera.
- Tindakan pantas pasukan bomba berjaya memadam keseluruhan kawasan terbabit.
- Tiada mangsa dilaporkan; operasi diteruskan untuk memastikan tiada bara api yang boleh menyebabkan kebakaran semula.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan Satu (PBK I) Mohd Nur Aizat Ayub dalam kenyataan memaklumkan, kebakaran yang melibatkan kawasan lalang itu membabitkan dua sektor, masing-masing seluas 13 hektar dan empat hektar.
“Panggilan kecemasan diterima kira-kira pukul 5 petang, sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sebana Cove tiba di lokasi tiga minit kemudian.
“Operasi pemadaman digerakkan pasukan JBPM dari BBP Sebana Cove dan BBP Punggai, melibatkan 12 anggota serta dua jentera.
“Hasil tindakan pantas pasukan bomba, keseluruhan kawasan kebakaran seluas 17 hektar berjaya dipadamkan,” menurut kenyataan itu.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan operasi pemadaman masih diteruskan bagi memastikan kawasan benar-benar selamat dan tiada bara api yang boleh menyebabkan kebakaran semula.