
ARAU, 3 Sept – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menerima kunjungan hormat delegasi Universitas Islam Riau (UIR), Indonesia dalam usaha memperkukuh hubungan strategik serta jaringan kerjasama akademik dan antarabangsa antara kedua-dua institusi.
- Memperkukuh kerjasama strategik dalam akademik, penyelidikan, inovasi, penerbitan dan pengantarabangsaan.
- Fokus perbincangan pada penyelidikan dan penerbitan bersama, pertukaran kepakaran, mobiliti pelajar dan staf serta program akademik bersama.
- Pelaksanaan Syarahan Pelawat dan Program Mobiliti Staf memperluas perkongsian ilmu, amalan terbaik dan rangkaian profesional untuk kerjasama rentas negara mampan.
Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor, berkata kunjungan berkenaan menjadi platform penting bagi kedua-dua institusi meneroka dan memperluas potensi kerjasama strategik, khususnya dalam bidang akademik, penyelidikan, inovasi, penerbitan dan pengantarabangsaan.
“Perbincangan turut memberi tumpuan kepada peluang untuk melaksanakan penyelidikan dan penerbitan bersama, pertukaran kepakaran, perkongsian ilmu, mobiliti pelajar dan staf serta penganjuran program akademik secara bersama,” katanya dalam kenyataan.
Selain kunjungan hormat dan sesi perbincangan, delegasi UIR turut terlibat dalam pelaksanaan Syarahan Pelawat dan Program Mobiliti Staf.
Program berkenaan memberi ruang kepada warga kedua-dua institusi untuk berkongsi ilmu, kepakaran, pengalaman serta amalan terbaik, selain memperluas jaringan profesional dan akademik.
“Kunjungan itu diharapkan dapat memperkukuh hubungan sedia ada antara UiTM Cawangan Perlis dan UIR, sekali gus membuka lebih banyak ruang kerjasama rentas negara yang mampan dan berimpak tinggi, selain menyokong agenda pengantarabangsaan kedua-dua institusi,” katanya lagi.
Delegasi UIR diketuai Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Fathurrahman, Ketua Pejabat Antarabangsa dan Kerjasama, Dini Tiara Sasmi, Ketua Bahagian Kerjasama Luar Negara, Dr. Atikah Haira Bagawan dan Ketua Bahagian Kerjasama Dalam Negara, M. Irfan Rosyadi, serta tiga staf Pejabat Antarabangsa UIR.