fb fb fb fb fb

UAE sediakan pakej bantuan untuk wanita dan kanak-kanak di Gaza

FOTO AFP

AL ARISH (MESIR) 1 April- Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah menyediakan pakej bantuan khusus untuk wanita dan kanak-kanak di Gaza sebagai sebahagian daripada bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin menerusi "Operation Chivalrous Knight 3", lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bulan Sabit Merah Emiriah Hamoud Abdullah Al Junaibi pakej bantuan ini merupakan komponen penting dalam usaha menyampaikan bantuan kemanusiaan dan makanan yang dihantar ke Semenanjung Gaza setiap hari, dengan tumpuan tertentu kepada wilayah utara.

“Pengagihan bakul makanan ini merupakan sebahagian daripada ikhtiar bantuan secara holistik yang dimulakan UAE untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Gaza. Ia dimudah cara menerusi operasi guguran udara atau konvoi bantuan UAE yang memasuki Gaza dengan menyeberang sempadan Rafah,” kata Al Junaibi.

Al Junaibi mengulangi komitmen UAE untuk membantu semua rakyat Palestin, terutamanya wanita dan kanak-kanak dengan membekalkan bantuan makanan dan keperluan penting. Beliau menekankan pakej bantuan khusus ini disediakan di samping usaha bantuan menyeluruh yang merangkumi pelbagai keperluan penting.

Sumbangan penting ke Gaza ini mencerminkan kebijaksanaan kepimpinan UAE untuk bersolidariti dengan rakyat Palestin dalam masa mencabar ini dan menunjukkan kepimpinan sejagat dalam usaha menyampaikan bantuan kemanusiaan.

Al Junaibi berkata ada rancangan untuk membekalkan pakaian kepada penduduk Gaza, sambil menekankan bahawa Persatuan Bulan Sabit Merah Emiriah dan semua institusi negara berkaitan bekerjasama rapat untuk menyediakan bantuan kemanusian yang diperlukan rakyat Palestin.- BERNAMA-WAM

ROSLINA BINTI DIN