fb fb fb fb fb

TVET Melaka sasar latih belia bidang "Scaffolding" industri minyak dan gas

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh

MASJID TANAH, 29 Mei - Majlis Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Melaka menggalakkan golongan belia di negeri itu untuk menyertai bidang "Scaffolding" (perancah) dalam industri minyak dan gas.

Menerusi Program Zero to Hero, ia dijangka memberi impak besar serta melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam industri itu.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, peruntukan sebanyak RM120,000 akan disalurkan untuk membiayai latihan kepada 30 belia yang layak menyertai program tersebut.

Ke arah itu, kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan rakan-rakan strategik industri berkaitan.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa industri minyak dan gas
di Malaysia akan terus berkembang pesat dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 1.4 peratus hingga tahun 2030 dengan sasaran peningkatan tenaga kerja sebanyak 25 peratus setiap tahun.

"Kita dapati bahawa industri ini sedang berkembang pesat, dan ia akan dijadikan salah satu inisiatif TVET Kerajaan Negeri Melaka untuk melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi. Program ini akan diatur dan dilaksanakan di kawasan Masjid Tanah, khususnya di bawah DUN Lendu.

"Kita dapati bahawa industri yang berpotensi tinggi ini mampu menjana peluang pekerjaan kepada belia-belia di kawasan Masjid Tanah dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi setempat," katanya.

Datuk Seri Ab Rauf bercakap kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Zero To Hero Penempatan Pekerja Bidang "Scaffolding" dalam industri minyak dan gas, di sini.

TETITIA YUSOFF