fb fb fb fb fb

Tunku Mahkota Ismail kecewa gangguan bekalan air ketika Aidilfitri

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail merasmikan pembukaan Persidangan Ketiga DUN Johor ke-15, hari ini

JOHOR BAHRU, 9 Mei- Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menzahirkan rasa kecewa terhadap insiden gangguan bekalan air yang berlaku di negeri itu pada Aidilfitri, baru-baru ini

Baginda bertitah, tindakan lebih tegas perlu diambil ke atas syarikat dan agensi terlibat berhubung isu ketiadaan air di negeri ini.

"Saya sangat kecewa baru-baru ini apabila menerima berita di negeri Johor menghadapi gangguan bekalan air ketika bangsa Johor sedang menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Perkara ini tidak boleh berlaku lagi pada masa akan datang. Jika perkara ini berlaku lagi saya menitahkan kerajaan negeri Johor agar tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih tegas kepada syarikat dan agensi terlibat.

"Saya ingin tegaskan air Johor adalah kedaulatan dan khazanah negeri yang dijaga dan dipelihara dengan penuh tanggungjawab," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan Persidangan Ketiga DUN Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Dua daerah iaitu Kulai dan Kluang berdepan isu bekalan air sepanjang minggu pertama hari raya Aidilfitri yang menjejaskan hampir seribu kediaman.

Dalam perkembangan lain, baginda mahu seluruh golongan ketua isi rumah bangsa Johor yang miskin tegar di negeri ini dibantu keluar daripada status itu sepenuhnya menjelang 2025.

Sehubungan itu, baginda memberi tempoh 19 bulan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor untuk mencari dan mengenal pasti golongan terbabit di kawasan masing-masing.

"Adalah menjadi keutamaan saya untuk memastikan semua bangsa Johor mempunyai makanan di atas meja masing-masing, tempat tinggal, akses pendidikan berkualiti untuk anak-anak Johor, serta akses kepada kemudahan asas dan kesihatan yang baik," titah baginda.

Justeru, baginda mahu program-program mendekati masyarakat, bantuan sosial, infrastruktur mencukupi dan pedidikan inklusif kepada masyarakat diteruskan.

SITI AISHAH MD ISA