fb fb fb fb fb

Tuanku Zara rasmi pameran seni diplomatik Malaysia-Romania

Tuanku Zara (busana ungu) berkenan menerima lukisan daripada Ketua Jabatan Seni Halus Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Suzlee Ibrahim (tiga kanan)

TANJUNG MALIM, 6 September- Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim yang juga Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Pameran Seni Visual Sempena Sambutan 55 Tahun Hubungan Diplomatik - Persilangan Budaya antara Malaysia dan Romania.

Baginda berkenan merasmikan pameran anjuran Institut Peradaban Melayu (IPM) di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah di sini semalam.

Majlis diadakan di Auditorium Utama dan Galeri Seni, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah yang turut dihadiri Duta Besar Azerbaijan, Georgia, Maldives dan Mexico, dua bekas Duta Besar Malaysia ke Romania, diplomat dari Bangladesh, Hungary, Sudan, Zambia dan kedutaan lain yang diiktiraf di Malaysia.

Duta Besar Romania ke Malaysia, Nineta Barbulescu, menyifatkan jalinan hubungan sejak 1969 antara Romania dan Malaysia membuktikan persahabatan, kerjasama dan saling menghormati warisan budaya kedua-dua negara yang terus berkembang.

"Pertukaran budaya, perkongsian akademik dan inisiatif ekonomi sepanjang 50 tahun lalu telah memperkayakan kehidupan rakyat kita, mencerminkan nilai dan budaya yang saling berkaitan.

"Saya teruja melihat hasil karya seni dari Malaysia dan Romania, terutama sekali daripada Tokoh Pelukis Negara, Ismail Embong," ujar beliau.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff, pula berkata persamaan budaya Romania dan Malaysia mengeratkan hubungan yang bermakna walaupun berada di sudut dunia yang berbeza.

Beliau menambah program pertukaran pelajar, penyelidikan bersama dan penerbitan akademik antara universiti di Malaysia dan Romania memupuk generasi pemimpin masa depan serta memperkukuh kerjasama dua hala.

Dalam majlis yang sama, Tuanku Zara Salim turut melawat pameran Pemvaksinan Human Papilloma Virus (HPV) serta meninjau lebih 50 lukisan di Galeri Seni.

Menurut Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff program kerjasama antara UPSI dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NSCM) ini merupakan inisiatif transformatif untuk menyokong program Imunisasi Kebangsaan dalam menangani cabaran kesihatan negara.

"Program ini bukan sekadar inisiatif kesihatan, tetapi juga langkah proaktif dalam mencegah kanser serviks yang masih menjadi kebimbangan di Malaysia," jelas beliau.

Turut hadir dalam majlis perasmian ialah isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Aezer Zubin; isteri Orang Kaya Bendahara Sri Maharaja, Toh Puan Datin Seri Diraja Puan Sri Hajah Rasiah Md Nor; serta Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Datuk Seri Rohani Parkash Abdullah.

0609 TUNKU ZAHRA RASMI 2
Tuanku Zara melihat lukisan karya pelukis Malaysia dan Romania

SITI AISHAH MD ISA