KUALA LUMPUR, 18 Oktober- Stesen Televisyen Turkiye (TRT) berhasrat memperkukuh kerjasama baik bersama Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) pada masa akan datang.
Kemegahan RTM sebagai stesen penyiaran nombor satu negara menjadi inspirasi untuk menjadikan industri komunikasi sebagai platform terbaik dalam mendidik masyarakat.
Menurut Duta Besar Turkiye, TYT Emir Salim Yuksel, RTM tetap teguh, unggul dan menjadi pilihan utama sumber informasi berita di negara ini meskipun sudah merentasi usia lebih tujuh dekad.
"RTM merupakan salah satu saluran yang paling penting dalam menyampaikan berita kepada masyarakat dan begitu juga produksi lain di bawahnya.
Saya rasa ada banyak potensi antara TRT Turkiye dan RTM sekali gus mampu memperkukuh hubungan dan kerjasama dalam bidang komunikasi antara dua agensi ini dengan lebih baik. Insya-Allah," kata Emir Salim Yuksel kepada pemberita RTM ketika kunjungan hormat ke RTM buat julung kalinya.
(Duta Besar Turkiye, TYT Emir Salim Yuksel)
Kunjungan selama satu jam itu disambut oleh Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud di Wisma TV, Angkasapuri.