fb fb fb fb fb

Transformasi Tabung Haji akan dibentang kepada PM

Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2024 YADIM - Foto BERNAMA.

PUTRAJAYA, 2 September - Cadangan transformasi Tabung Haji (TH) ke arah menjadi institusi pelaburan Islam akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk pandangan serta hala tuju lanjut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan, pengurusan TH perlu memberikan taklimat terlebih dahulu supaya setiap cadangan dapat diteliti secara menyeluruh, demi menjaga kepentingan pendeposit dan dasar yang wajib dipatuhi.

“Cuma yang pastinya, apa yang telah saya gariskan kepada pengurusan Tabung Haji ialah untuk apa jua tindakan yang diambil, mestilah menjamin kepentingan Tabung Haji dan juga pendeposit Tabung Haji. Itu adalah asas dan dasar yang mesti dan wajib dipatuhi oleh Pengerusi dan juga seluruh Lembaga Pengarah Tabung Haji,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, menjelaskan perbincangan mengenai pindaan Akta Tabung Haji 1995 sedang giat dijalankan, bagi memastikan model perniagaan TH kekal mampan, relevan serta mampu bergerak seiring cabaran masa depan.

Pada majlis sama, seramai 20 kakitangan cemerlang daripada tujuh kategori perkhidmatan menerima sijil penghargaan, wang tunai serta bar emas sebagai simbol pengiktirafan.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, Yang Dipertua YADIM Datuk Dr Hasan Bahrom, Timbalan Yang Dipertua Prof Madya Dr Adi Anuar Azmin serta Ketua Pegawai Eksekutif Zamri Zainal Abidin.

TUN JULIA MOHD TAHIR