PUTRAJAYA, 29 November - Semua syarikat telekomunikasi digesa membangunkan bakat kepakaran dalam kalangan rakyat agar mampu meneroka pasaran kerja berkaitan bidang teknologi baharu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hanya menerusi pembangunan bakat itu, martabat negara dapat diangkat dari sudut transformasi digital.
"Saya ingin menggesa selain PEDi, MCMC serta kementerian, saya mahu syarikat telekomunikasi memberi tumpuan lebih supaya agenda pembangunan ini bukan sahaja kecanggihan teknologi, tapi dapat membantu rakyat termasuk melalui PEDi ini," katanya.
Berucap ketika merasmikan Persidangan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Madani 2023, di sini, Anwar berkata ia sama seperti beberapa syarikat gergasi yang melabur di Malaysia, termasuk Infineon, Geely, Google, dan Elon Musk yang memerlukan tenaga kepakaran tambahan.
"Maknanya PEDi ini merupakan satu strategi yang sangat penting untuk penerokaan bakat dan kita perlu pastikan ia lebih berhasil. Sebab itu saya umumkan kegiatan PEDi ini diperluaskan dari yang ada sekarang harus ada di setiap Dewan Undangan Negeri," tambah Anwar.