JASIN, 13 Februari - Identiti lima beranak yang rentung dalam kebakaran di Kampung Berangan Enam, Umbai, di sini awal pagi tadi telah dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat berkata mangsa yang maut terdiri daripada seorang ibu bersama dua anak lelaki dan dua anak perempuan.
"Mangsa dikenali sebagai Laila Fatinah Mustapa, 35; Nur Damia Badrisya, 13; Izz Dafa Hafizuddin, 7; Nur Dalila Khatijah, 5; dan Izz Dani Fati, 2. Sementara itu, suami dan bapa kepada mangsa, Muhammad Khairuddin Saari, 35, terselamat dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.30 pagi itu," katanya menerusi kenyataan.
Menurut siasatan awal, Muhammad Khairuddin memaklumkan keluarganya sedang tidur sebelum isterinya menyedari rumah mereka terbakar dengan api sedang marak.
Beliau cuba menyelamatkan keluarganya namun gagal kerana mengalami kecederaan kaki kanan yang patah (bersimen) serta sesak nafas akibat kepulan asap tebal.
Api berjaya dipadamkan sekitar pukul 3 pagi, dan pasukan penyelamat menemui lima mayat rentung di lokasi kejadian.
Muhammad Khairuddin yang mengalami kecederaan telah dibawa ke Hospital Jasin untuk rawatan lanjut, manakala mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Jasin bagi proses bedah siasat.
Siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
BERITA BERKAITAN: