KUALA LUMPUR, 13 Februari- Ekonomi Malaysia diunjur berkembang antara 4.5 hingga 5.5 peratus pada tahun ini dipacu sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.
Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, unjuran tersebut disokong persekitaran luar stabil dan berdaya tahan, serta jangkaan permintaan domestik yang lebih baik.
"Sektor perkhidmatan dijangka berkembang sebanyak 5.5 peratus disokong perbelanjaan pengguna yang berterusan serta aktiviti perniagaan dan pelancongan yang lebih rancak. Kepengerusian ASEAN juga dijangka memberi manfaat kepada sektor ini.
"Sektor pembuatan diunjur meningkat 4.5 peratus didorong permintaan luar yang stabil terutama untuk produk elektrik dan elektronik. Sementara itu, sektor pembinaan dijangka berkembang 9.4 peratus dipacu oleh pelaksanaan berterusan infrastruktur termasuk transit aliran ringan (LRT) 3 fasa 2, Rangkaian Jalan Sarawak-Sabah (SSLR) fasa 2 dan pelaksanaan projek bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) berterusan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin berhubung jangkaan perkembangan peratusan ekonomi Malaysia pada tahun 2025 dan faktor-faktor yang menyumbang kepadanya.