KUALA LUMPUR, 13 Februari – Kenaikan harga lantai padi dijangka memberi kesan positif kepada industri beras negara, termasuk mengurangkan kebergantungan kepada import serta memastikan rantaian bekalan beras tempatan kekal mampan.
Pensyarah Kanan Ekonomi, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata langkah itu mampu meningkatkan daya saing industri beras tempatan di peringkat global.
“Usaha untuk menaikkan harga lantai padi dan beras juga sudah semestinya akan membantu negara mengurangkan kebergantungan kepada beras import, yang selama ini menjadi salah satu faktor menjejaskan industri bekalan beras tempatan.
"Ia juga diharap dapat mengurangkan pengaruh kartel dalam industri ini, sekali gus meningkatkan kadar pengeluaran beras ke tahap yang lebih tinggi atau maksimum,” katanya ketika dihubungi RTM.
Menurut Dr. Bashir Ahmad, kenaikan harga lantai itu juga turut memberi manfaat besar kepada pesawah, terutama dalam menampung kos operasi yang semakin meningkat.
“Kenaikan harga lantai padi atau beras akan memberi gambaran yang lebih baik kepada pesawah yang telah bertungkus lumus memastikan keterjaminan bekalan beras tempatan. Langkah ini sekurang-kurangnya dapat meringankan kos sara hidup pesawah yang mungkin tergolong dalam kategori miskin, selain membantu mengimbangi kos operasi seperti penggunaan bahan mentah, mesin, elektrik dan teknologi,” jelasnya.
Inisiatif tersebut katanya diharap dapat memperkukuh sektor pertanian serta menjamin kestabilan bekalan makanan negara dalam jangka panjang, selari dengan matlamat Malaysia MADANI.
BERITA BERKAITAN: