fb fb fb fb fb

Tragedi bot karam: Dua lagi mayat ditemukan, operasi tamat

Foto RTM

PELABUHAN KLANG, 8 Jun- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi insiden bot terbalik di perairan Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang berakhir pagi tadi selepas kesemua mangsa berjaya ditemukan.

Operasi SAR berakhir dengan penemuan mayat pasangan suami isteri, Gan Hon Tat, 32, dan isterinya, Careen Man, 29, sekitar pukul 7.45 pagi tadi.

Pegawai Operasi Unit Penguatkuasaan dan Eksais Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor Leftenan Maritim Mohd Syafiq Sazali berkata kedua-dua mayat mangsa ditemukan kira-kira 0.1 batu nautika dari Pusat Hidrografi Nasional.

"Kedua-dua mayat ditemukan dalam keadaan terapung. Jarak antara kedua-dua mangsa lebih kurang 200 meter. Kedua-dua mayat dibawa ke Jeti Maritim Negeri Selangor dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

"Jutaan terima kasih kepada semua agensi terlibat yang turut serta sepanjang operasi selama tiga hari, bermula 6 Jun lalu," katanya kepada pemberita di sini.

Operasi SAR ditamatkan pada pukul 10.00 pagi setelah kesemua mangsa ditemukan.

Difahamkan, bedah siasat dijangka dijalankan pada pukul 11.00 pagi ini di Jabatan Forensik Hospital Alam.

Jumaat lalu, bot yang dinaiki enam penumpang terbalik di perairan Tanjung Harapan.

Hasil siasatan awal mendapati bot berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik.

Kesemua mangsa dipercayai tidak memakai jaket keselamatan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM