TMM 2026: Lebih banyak pakej pelancongan domestik ditawarkan

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Januari – Lebih banyak pakej pelancongan domestik yang berpatutan dan kompetitif akan ditawarkan sebagai usaha meningkatkan aliran pelancong tempatan, selari dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih banyak pakej pelancongan domestik berpatutan dan kompetitif ditawarkan untuk tingkatkan aliran pelancong tempatan.
  • Kerjasama rapat dengan pengusaha tempatan bagi memastikan kualiti perkhidmatan dan harga munasabah.
  • TMM 2026 fokus pada keterhubungan, termasuk penerbangan dan pengangkutan untuk memudahkan pergerakan pelancong.
  • Memperkukuh kerjasama kerajaan-swasta dan memacu pelancongan mampan serta pengalaman unik seperti alam, kesihatan dan warisan.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, langkah itu melibatkan kerjasama rapat dengan pengusaha tempatan bagi memastikan kualiti perkhidmatan serta penawaran harga yang munasabah, sekali gus meningkatkan daya tarikan destinasi pelancongan dalam negara.

Beliau berkata, penyediaan pakej pelancongan domestik itu bertujuan memudahkan perancangan perjalanan dalam negara, selain memberi lebih banyak pilihan berdasarkan maklumat harga dan produk yang lebih jelas serta tersusun.

“Pemain industri sendiri yang datang kepada kita untuk memperkenalkan produk baharu serta kesesuaian produk tersebut dengan segmen sasaran. Sebab itu kerjasama antara Tourism Malaysia dan pemain industri pelancongan amat erat dalam usaha memastikan kelestarian pelancongan negara.

”Namun, kerjasama ini tidak terhad kepada pemain industri sahaja, malah turut melibatkan aspek infrastruktur yang juga sama penting,” katanya selepas program Biz Malaysia di TV1 di sini.

Tambahnya, tiga teras utama ditetapkan bagi TMM 2026 iaitu meningkatkan keterhubungan termasuk daripada segi penerbangan dan pengangkutan bagi memudahkan pergerakan pelancong.

Selain itu, mengukuhkan kerjasama antara sektor kerajaan dan swasta, serta memacu pertumbuhan pelancongan mampan supaya sektor itu terus berdaya tahan untuk jangka panjang.

Penekanan turut diberikan kepada pembangunan pelancongan berasaskan pengalaman, termasuk pelancongan alam semula jadi, kesihatan, warisan dan pelancongan mesra Muslim, agar Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan yang menawarkan pengalaman unik dan berkualiti kepada pelbagai segmen pelancong.