TANJUNG BRUAS, 1 Mei- Melaka menyasarkan jumlah kehadiran pelancong China dapat dipertingkat kepada 1 juta orang sempena Tahun Melawat Melaka (TMM2024), tahun ini.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan berkata pelbagai acara dirangka yang menjadi bukti keakraban hubungan antara kerajaan China dan Malaysia khususnya negeri Melaka sejak beratus tahun lalu.
Pada tahun lalu, jumlah pelancong China ke Melaka ialah seramai 204,818 orang.
"Ini adalah antara signifikan lawatan ini. Kita boleh lihat bahawa hubungan antara kerajaan China dan kerajaan kita telah lama berlaku dan hubungan ini perlu diperkasakan semula. Ia bagi menarik lebih ramai pelancong terutama dari negara China untuk datang kepada negeri Melaka."
"Hubungan sejarah ini perlu diperkasa bagi meningkatkan keupayaan terutama kita Malaysia dari segi pelaburan, teknologi dan sebagainya," kata Datuk Zaidi kepada pemberita selepas menyambut kehadiran sebuah kapal kayu tradisional Cina terbesar di dunia apabila ia berlabuh di Jeti Pelabuhan Tanjung Bruas, Tanjung Kling.
Kapal tradisional yang membawa sembilan anak kapal itu dijadual berada di perairan negeri berkenaan selama tujuh hari, bermula hari ini.
Difahamkan, pelayaran berkenaan bagi mempromosikan penjelajahan sejarah Laluan Sutera yang pernah dilakukan Laksamana Cheng Ho kira-kira 600 tahun lalu.
Datuk Zaidi berkata kehadiran kapal tradisional terbesar itu mampu menarik kehadiran pelancong China ke Melaka dan merancakkan promosi TMM2024.