KUALA LUMPUR, 16 Disember - Teguran Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berhubung kegagalan ahli Parlimen menunjukkan teladan, diterima sebagai mesej yang kuat dan jelas.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata tindakan lebih tegas akan dikenakan terhadap ahli Parlimen yang didapati tidak menunjukkan perlakuan seperti sewajarnya.
"Insya-Allah, saya dapat mesej yang kuat dan jelas, kita akan laksanakan tindakan lebih tegas terhadap ahli Parlimen yang gagal menunjukkan contoh baik...Insya-Allah,"
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Jerayawara Parlimen Belia Malaysia (PBMy) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, di sini hari ini.
Sultan Selangor sebelum ini dilapor menzahirkan kekecewaan terhadap segelintir wakil rakyat yang tidak menjaga tingkah laku dan tidak tertib di Dewan Rakyat.
Baginda menegaskan bahawa Dewan Rakyat mesti menjadi contoh wacana demokrasi yang matang dan menyeru ahli Parlimen agar mengekalkan adab, berbahas dengan tertib dan memperlihatkan kematangan.