fb fb fb fb fb

TikTok diminta sedia mekanisme baharu, bendung akses pengguna bawah umur

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pada sidang media Sesi Perjumpaan Menteri Komunikasi dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama-sama dengan Pihak TikTok di Menara 1 Bukit Aman

KUALA LUMPUR, 4 September -Platform media sosial TikTok diminta menyediakan mekanisme berkesan berikutan kaedah sedia ada gagal membendung kehadiran pengguna bawah usia 13 tahun.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia bagi melindungi kanak-kanak serta menjauhkan mereka daripada kandungan berbahaya.

Katanya, antara pelanggaran utama platform media sosial, termasuk TikTok ialah kehadiran pengguna bawah umur yang melanggar garis panduan komuniti platform berkenaan.

"Perlu ada satu mekanisme untuk membuat pengesahan umur dan kita serahkan kepada pihak TikTok, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meneliti apa mekanisme mengambil kira apa yang dilakukan negara-negara lain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pertemuan antara pengurusan tertinggi TikTok bersama PDRM dan MCMC di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman.

Dalam pada itu, sebanyak 76,002 kandungan melibatkan berita dan maklumat palsu telah diturunkan daripada platform TikTok dari 1 Januari hingga 31 Ogos 2025. Manakala 10,730 kandungan lain tidak diturunkan.

"Ini bermaksud peratusan penurunan adalah sebanyak 86 peratus, penting saya tegaskan bahawa tindakan penurunan dibuat pihak platform sendiri berdasarkan garis panduan yang mereka terbitkan" katanya.

Jelasnya lagi, isu utamanya ialah keselamatan dalam talian untuk memastikan kanak-kanak tidak terdedah kepada risiko hanya kerana platform tidak menguatkuasakan peraturannya sendiri.

Dalam pada itu Datuk Fahmi berkata, kerajaan akan mengadakan pertemuan dengan pengendali media sosial seperti Meta dan X dalam masa terdekat, bagi membincangkan dan meneliti isu kandungan berunsur berita palsu, maklumat mengelirukan serta isu keselamatan lain.

"Kerana setiap daripada platform ini ada jenayah-jenayah tertentu yang berlegar. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar S. Muthuvelu dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa memaklumkan dalam mesyuarat tadi jumlah kertas siasatan yang dibuka oleh JSJK terutama 'scam'. Pihak TikTok agak culas memberikan maklumat untuk masalah itu apabila ia berlaku," katanya lagi.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana penyalahgunaan platform media sosial bertujuan jenayah, khususnya jenayah penipuan yang menyasarkan kepada rakyat Malaysia.

TETITIA YUSOFF