fb fb fb fb fb

Tiga projek naik taraf, bina sekolah baharu di Sarawak bakal siap tahun ini

Datuk Seri Ahmad Maslan bersama pasukan JKR dan KKR membuat lawatan kerja ke SK Jalan Haji Baki, Kuching

KUCHING, 13Jun- Sebanyak tiga daripada 25 projek naik taraf dan bina sekolah baharu bawah Kementerian Pendidikan di Sarawak dijangka siap tahun ini.

Projek berkenaan melibatkan Sekolah Kebangsaan Jalan Haji Baki; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padawan dan SMK Sri Sadong.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, semua projek di seluruh negara, termasuk di Sarawak perlu disiapkan menggunakan prinsip lima K iaitu kesejahteraan rakyat, kepantasan tindakan, kos munasabah, kualiti terjamin dan kebitaraan inovasi.

“Kita bukan hanya mahukan projek-projek berkenaan pantas disiapkan dan mempunyai kos munasabah, tetapi kita juga mahukan kualitinya tetap terjamin, sama ada dari segi bahan binaan digunakan, kualiti tetap terjamin,"katanya semasa lawatan kerja ke SK Jalan Haji Baki, Kuching.

Pembinaan sekolah berkenaan sudah mencapai kemajuan fizikal 92.83 peratus.

Projek dengan kos asal RM18.18 juta yang mula dibina sejak 14 April 2022 dijangka siap sepenuhnya Julai depan.

Pembinaannya bagi menggantikan bangunan asal yang terdiri daripada struktur kayu dan separa kayu yang sudah usang kepada bangunan lebih kondusif dan selesa kepada guru dan murid.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE