KUALA LUMPUR, 8 Jun– Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan aktivis dan pereka grafik, Mohd. Fahmi Reza Mohd. Zarin atau lebih dikenali sebagai Fahmi Reza, dikenakan sekatan pergerakan seperti yang dilaporkan oleh beberapa media massa dan disuarakan oleh orang awam semalam.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, PDRM menjelaskan, tiada sebarang sekatan rasmi dikenakan terhadap Fahmi Reza pada masa ini.
Bagaimanapun, nama beliau telah dimasukkan ke dalam senarai pemantauan pergerakan oleh pihak polis bagi tujuan rekod dan rujukan dalaman berkaitan siasatan yang masih dijalankan ke atasnya.
"Senarai ini tidak membawa maksud sekatan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada prosedur pemantauan yang lazim dilaksanakan oleh pihak berkuasa," katanya.
Tambah kenyataan itu, insiden yang berlaku di pintu keluar negara semalam, menyebabkan Fahmi Reza dihalang untuk berlepas, berpunca daripada kekeliruan semasa proses semakan yang membawa kepada arahan sekatan dikeluarkan secara tidak tepat.
PDRM kini sedang meneliti situasi tersebut dan langkah sewajarnya akan diambil bagi memperkemas prosedur sedia ada agar kejadian seumpama itu tidak berulang.
Dalam pada itu, PDRM menegaskan komitmen pihaknya dalam melindungi dan menghormati hak kebebasan bergerak semua rakyat Malaysia.
Individu yang terlibat juga adalah bebas untuk melakukan perjalanan keluar dan masuk negara seperti biasa, tertakluk kepada peraturan Jabatan Imigresen dan undang-undang berkaitan.
BERITA BERKAITAN: