PAUH, 4 Julai- Program Robotik Komuniti yang dijalankan sempena AI Summer Camp TVET Se-Malaysia 2025 di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Pauh, memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah rendah terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Melibatkan 90 pelajar dari 29 buah sekolah rendah seluruh Perlis, program berkenaan diadakan bagi merangsang minat dalam bidang elektronik, robotik dan kecerdasan buatan yang selari dengan keperluan Revolusi Perindustrian 4.0.
Pengarah Eksekutif Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE), Profesor Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin berkata, pendekatan awal dapat mempersiapkan pelajar menghadapi cabaran teknologi masa depan serta mencetus minat memilih laluan pendidikan berasaskan TVET selepas tamat persekolahan.
“Daya inovasi dan kreativiti pelajar terhadap sains dan teknologi dapat dipupuk dari peringkat rendah, sekali gus memberi mereka hala tuju lebih jelas menjelang alam pendidikan menengah dan tinggi,” katanya ketika ditemui di Arau.
AI Summer Camp TVET Se-Malaysia 2025 yang bermula pada 1 Julai lalu berlangsung selama empat hari, melibatkan 160 pelajar dari 23 politeknik dan kolej komuniti zon utara.
Program berakhir petang ini dijangka menjadi pemangkin kepada keterlibatan lebih aktif generasi muda dalam dunia teknologi dan kejuruteraan negara.