SEOUL, 4 Julai- Kepelbagaian budaya dan etnik di Malaysia dimanfaatkan sebagai kekuatan utama dalam mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026, khususnya menerusi pengenalan busana tradisional, seni serta makanan warisan pelbagai negeri.
Presiden Malaysian Muslim Travel Agency Association (MYTRA), Syazri Afiq berkata, usaha berkenaan mendapat sambutan positif daripada masyarakat Korea yang menganggap keunikan budaya Malaysia sebagai satu kekuatan tersendiri.
“Selain mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan, kita tampilkan juga pemakaian seperti bersari dan sebagainya. Ini penting kerana kita lihat sendiri, walaupun masyarakat Korea moden, mereka sendiri jarang berpakaian tradisional, berbeza dengan rakyat Malaysia yang masih kekalkan pemakaian tradisional hingga hari ini,” katanya.
Turut berkongsi pandangan, agen pelancongan, Grace Ng yang menggayakan kebaya Baba Nyonya sebagai lambang kepelbagaian budaya Malaysia.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita ada pelbagai budaya. Hari ini saya memakai kebaya Baba Nyonya dan dengan bangga saya wakili Malaysia. Saya berkongsi kepada masyarakat Korea tentang bagaimana Malaysia sebenarnya, Truly Asia,” katanya.
Sementara itu, agen pelancongan, Hairul Anwar Ali menyifatkan pendekatan tersebut sebagai satu representasi imej Malaysia yang sangat sesuai diketengahkan di peringkat antarabangsa.
Usaha promosi itu disampaikan dalam program MYTRA B2B Exchange Seoul 2025 yang berlangsung di Seoul, Korea, membabitkan penyertaan hampir 100 agensi pelancongan dari Malaysia dan Korea.