
BATU KAWAN, 5 April – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan langkah penjimatan dengan pengurangan pergerakan kenderaan yang tidak kritikal, pelaksanaan mesyuarat secara dalam talian serta penilaian semula kaedah program sokongan bagi mendepani ketidaktentuan global.
- Operasi kecemasan kekal keutamaan dan tidak akan dikompromi walaupun berdepan peningkatan kos.
- JBPM menjangka memerlukan peruntukan tambahan susulan kenaikan harga semasa.
- Arahan dikeluarkan supaya meneliti kaedah penjimatan tanpa menjejaskan kecekapan operasi.
- Kenyataan itu disampaikan oleh Ketua Pengarah selepas majlis perasmian penutupan konvensyen negeri.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad menegaskan operasi kecemasan kekal menjadi keutamaan dan tidak akan dikompromi walaupun berdepan peningkatan kos.
“Saya maksudkan, dengan mengambil kira harga semasa, kita menjangkakan memang ada keperluan untuk peruntukan tambahan. Namun begitu, kita telah mengeluarkan arahan supaya meneliti kaedah penjimatan, khususnya melibatkan pergerakan kenderaan yang tidak kritikal.
“Sebagai contoh, kita menggalakkan mesyuarat dilaksanakan secara dalam talian bagi mengurangkan keperluan pergerakan kenderaan. Program sokongan juga diminta dikaji semula dari segi kaedah pelaksanaannya, dengan matlamat mengurangkan penggunaan logistik.
“Bagaimanapun, jika melibatkan panggilan kecemasan, tiada kompromi dan kita akan terus bertindak seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Pasukan Bomba Sukarela dan Kempen Keselamatan & Kesedaran Awam JBPM Negeri Pulau Pinang di Stadium Batu Kawan di sini.
Meskipun langkah tersebut bertujuan mengurangkan penggunaan logistik, namun ia tidak akan menjejaskan kecekapan operasi jabatan.