P. Pinang tidak halang pelaksanaan Projek Jalan Berkembar Bukit Kukus

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (tengah)

BATU KAWAN, 5 April – Kerajaan Pulau Pinang tidak menghalang pelaksanaan Projek Jalan Berkembar Bukit Kukus daripada diteruskan, meskipun timbul beberapa isu berkaitan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Chow Kon Yeow menegaskan kes rasuah dikaitkan dengan pihak syarikat dan tidak melibatkan kerajaan negeri.
  • Projek dibahagikan kepada tiga jajaran; dua bahagian masih dalam pembinaan di Farlim dan Majestic Height.
  • Ketua Pengarah JAS didakwa menerima suapan RM100,000 berkaitan EIA bagi cadangan jalan Bukit Kukus pada 2025.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menegaskan kes rasuah yang dikaitkan dengan projek tersebut melibatkan pihak syarikat dan tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri.

Projek tersebut dibahagikan kepada tiga jajaran dan hanya dua bahagian yang masih dalam pembinaan melibatkan kawasan Farlim dan Majestic Height, George Town.

Dalam pada itu, pemantauan terhadap pelaksanaan projek akan terus dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan kelancaran serta pematuhan kepada garis panduan yang ditetapkan.

“Projek ini masih diteruskan, bahagian dua juga sedang dilaksanakan tetapi belum siap. Manakala bahagian tiga telah pun siap sejak beberapa tahun lalu.

“Buat masa ini, kita baru sahaja mengetahui perkara ini hari ini, jadi kita akan serahkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk menanganinya.

“Setakat ini, selagi kerja pembinaan diteruskan, kita tidak menghalang projek tersebut daripada diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Pasukan Bomba Sukarela dan Kempen Keselamatan & Kesedaran Awam JBPM Negeri Pulau Pinang di Stadium Batu Kawan di sini.

Sebelum ini media melaporkan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima suapan bernilai RM100,000.

Ia berkaitan penyediaan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi cadangan membina jalan berkembar Bukit Kukus, pada 2025.