KUALA LUMPUR, 8 November - Media merupakan rakan strategik penting kepada kerajaan dalam menyebarkan maklumat serta membentuk kesedaran tentang kelestarian alam sekitar, kata Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Dr Ching Thoo Kim.
Beliau berkata sehubungan itu, pihaknya menghargai hubungan erat dengan pengamal media yang banyak membantu mempromosikan program NRES kepada rakyat.
"Kami di kementerian menganggap media menjadi the fourth government dan bayangkan jika kita hidup tanpa ada Facebook, TikTok dan sebagainya, dunia kita akan menjadi satu dunia yang ‘gelap’," katanya ketika berucap di Majlis Apresiasi Media NRES di sini malam tadi.
Turut hadir pada majlis itu Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli) Datuk Mas Rizal Mohd Hilmi, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, ketua-ketua pengarang, editor dan lebih 200 pengamal media daripada 25 agensi media tempatan.
Dalam pada itu, Ching berkata peranan media terbukti berkesan dalam mencetuskan kesedaran awam terhadap isu kritikal berkaitan alam sekitar dan hidupan liar.
“Satu daripada isu yang mendapat liputan yang meluas ialah kejadian seekor anak gajah berusia lima tahun dilanggar mati di jalan Gerik, Perak dan kalau kita masing ingat ia berlaku pada Hari Ibu,” katanya.
Majlis Apresiasi Media NRES diadakan sebagai tanda penghargaan kepada pengamal media yang telah memberikan liputan meluas dan kerjasama padu kepada kementerian itu sepanjang tahun. -BERNAMA