fb fb fb fb fb

MAIWP peruntuk RM2.41 juta, lancar PMT & bilik sensori untuk murid berkeperluan khas

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menandatangan plak perasmian pada Majlis Pelancaran Program Makanan Tambahan (PMT) Pelajar Menengah dan Bilik Multisensor di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kampung Baharu / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Julai- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama Yayasan Didik Negara (YDN) melancarkan Program Makanan Tambahan (PMT) untuk pelajar sekolah menengah serta Bilik Integrasi Sensori bagi pelajar pendidikan khas.

Inisiatif berkenaan melibatkan peruntukan zakat keseluruhan sebanyak RM2.41 juta, menyasarkan pelajar dari 15 buah sekolah menengah sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya, khususnya golongan yang berdepan kekangan ekonomi.

Bercakap pada majlis pelancaran program berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, penyediaan makanan berkualiti dalam PMT tersebut adalah sebahagian daripada prinsip maqasid syariah, khususnya dalam aspek penjagaan diri dan akal (hifz al-nafs dan hifz al-‘aql).

“Melalui makanan berkualiti yang disediakan kepada pelajar-pelajar di sekolah ini, mereka akan membesar dalam keadaan fizikal yang baik dan turut memberi kesan positif dari sudut spiritual,” katanya.

Sebanyak RM70,000 turut diperuntuk bagi penubuhan Bilik Integrasi Sensori di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kampung Baharu, yang menyediakan ruang terapi dan pembelajaran lebih kondusif untuk pelajar pendidikan khas.

Datuk Dr. Mohd Na’im berkata demikian selepas merasmikan majlis pelancaran program tersebut bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Menurutnya, penyaluran zakat kini dilihat bukan sekadar menyantuni golongan asnaf, malah menjadi pemangkin kepada akses pendidikan yang lebih menyeluruh, terutamanya bagi pelajar berkeperluan khas dan keluarga dari kumpulan B40.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE