KUALA LUMPUR, 4 Julai – Borneo Flora Festival (BFF) 2025 yang akan berlangsung dari 26 hingga 30 Julai ini, bakal menampilkan lebih 250,000 bunga semusim, flora eksotik serta suasana taman bertema yang direka secara kreatif dan memukau.
Festival berkenaan diadakan di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan dan menjanjikan pengalaman luar biasa buat pencinta alam serta pelancong tempatan mahupun antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Mohd Sukuran Taib
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Mohd Sukuran Taib berkata, festival edisi kali ini membawa kelainan dengan menampilkan spesies flora dan fauna unik dari Borneo, termasuk spesies yang jarang ditemui dan terancam.
“Kita bawa khas spesies eksotik dan endemik dari seluruh Borneo untuk dipamerkan kepada pengunjung. Ia bukan hanya memukau dari segi visual, tetapi juga memberi nilai pendidikan dan kesedaran terhadap kepelbagaian biodiversiti di rantau ini,” katanya kepada wartawan selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, di sini hari ini.
Menurutnya, 250,000 bunga semusim telah ditanam hasil kerjasama Perbadanan Putrajaya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, termasuk spesies seperti marigold, salvia, kosmos dan lain-lain, yang akan menghiasi kawasan utama festival serta lokasi tumpuan lain di sekitar Labuan.
“Kita jadikan seluruh Labuan sebagai ‘taman bunga terbuka’, bukan hanya di tapak utama festival,” katanya.
Datuk Seri Dr. Zaliha berpuas hati dengan persiapan bagi BFF 2025 - Foto FB Dr Zaliha Mustafa
BFF 2025 turut mengetengahkan taman-taman bertema serta pelbagai segmen menarik termasuk pertandingan melukis, pameran motosikal berkuasa tinggi dan persembahan kebudayaan serta hiburan oleh artis tempatan.
Dengan sasaran kehadiran 50,000 pengunjung, festival ini juga dijangka merangsang sektor pelancongan tempatan dengan unjuran peningkatan 10 hingga 15 peratus bilangan pelawat ke Labuan sepanjang tempoh penganjuran.
“Lokasi festival di tepi laut menjadikan ia lebih mudah diakses dan memberikan pengalaman santai yang unik kepada pengunjung,” katanya.
Festival ini dilihat antara inisiatif strategik memperkasa pelancongan berasaskan alam semula jadi serta platform memupuk kecintaan terhadap warisan flora Borneo.