fb fb fb fb fb

7,000 hadiri Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Negeri Sembilan

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyantuni para tetamu yang hadir pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Negeri Sembilan 2025 / Foto RTM

SEREMBAN, 8 November - Lebih 7,000 pengunjung hadir memeriahkan Majlis Sambutan Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Negeri Sembilan 2025 di Dewan Orang Ramai, Taman Seremban Jaya, hari ini.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir turut berkenan berangkat diiringi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan isteri, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof serta barisan pimpinan kerajaan negeri.

Menurut Datuk Seri Aminuddin, pelbagai juadah tradisi dan unik bangsa India diketengahkan pada majlis sambutan itu.

"Sambutan Deepavali akan kita gerakkan dari daerah ke daerah. Kali ini, daerah Seremban dan Seremban Jaya jadi tuan rumah. Ada kelebihannya apabila masyarakat Melayu, Cina, India hadir ke (sambutan) Deepavali ini menunjukkan keharmonian yang ada di Negeri Sembilan, " katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak di Dewan Orang Ramai, Taman Seremban Jaya.

Dalam pada itu, lebih 50 buah keluarga terdiri daripada bangsa Iban dan Kadazan turut hadir memeriahkan majlis.

EMMI NORALIZA ADNAN