PUTATAN, 8 November - Kerajaan Persekutuan berhasrat memastikan tuntutan 40 peratus hasil Sabah ditangani dengan penuh keadilan dan berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata kerajaan mengambil maklum kedudukan serta syarat-syarat perlembagaan berkaitan perkara itu, dan komited memperjuangkan hak rakyat Sabah melalui rundingan yang telus dan menyeluruh.
"Ada beberapa perkara yang perlu diteliti untuk memastikan tidak berlaku sebarang kepincangan ataupun sebarang perkara yang tidak menurut perlembagaan.
"Keputusan atau penghakiman itu perlu diteliti supaya keseluruhan mekanisme itu difahami dan tidak berlaku apa-apa perkara yang tidak diingini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Hari Bersama Komuniti (HBK) dan Temu Anak Muda di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Kopimpinan di sini.
Tambahnya lagi, tempoh 180 hari telah ditetapkan bagi membolehkan perbincangan lanjut antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah diteruskan, bagi mencapai penyelesaian yang adil serta tidak bercanggah dengan peruntukan undang-undang.
Sembilan daripada 16 tuntutan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 telah dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dalam tempoh tiga tahun manakala selebihnya sedang dalam proses penelitian.
Beliau menegaskan, Perdana Menteri sendiri memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan akan terus memperjuangkan keadilan untuk Sabah, namun pada masa sama memastikan tiada kepincangan atau pelanggaran terhadap prinsip perlembagaan.