fb fb fb fb fb

12 Kampung Angkat MADANI terima peruntukan RM1 juta

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua dari kanan) menyerahkan agihan zakat pada Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI kementerian itu di Kota Belud, Sabah. - Foto / Bernama

KOTA BELUD, 4 Julai - Sekurang-kurangnya 12 Kampung Angkat MADANI menerima peruntukan sebanyak RM1 juta, bagi setiap kampung untuk melaksanakan pelbagai projek oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peruntukan itu diberikan secara terus kepada pemimpin setempat dan agensi berkenaan bagi melaksanakan projek fizikal serta bukan fizikal yang memberikan impak kepada kampung masing-masing.

"Kesan daripada peruntukan RM1 juta itu turun segera, dengan pantas, tiada kerenah birokrasi membolehkan, misalnya pemasangan lampu solar 40 unit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat MADANI KDN di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pangkalan Abai di sini, hari ini.

Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, di Kampung Angkat MADANI itu juga diwujudkan satu pos kawalan Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Kawasan Rukun Tetangga yang turut dibantu penduduk kampung dalam kawalan keselamatan.

Beliau menambah, kemudahan lain di Kampung Angkat MADANI SK Pangkalan Abai yang mempunyai kira-kira lebih 800 penduduk itu, termasuk, pembinaan sistem perparitan sepanjang 150 meter bagi mengatasi masalah banjir.

Selain itu, KDN turut memasang paip sepanjang 350 meter, pembelian sebuah van jenazah dan menyalurkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada Persatuan Ibu Bapa Guru, SK Pangkalan Abai.

"Saya berpendapat bahawa kebaikan program ini adalah sesuai dengan tugas KDN," katanya, sambil menambah program Kampung Angkat MADANI memberi impak secara langsung kepada rakyat. - BERNAMA

ASHRIQ FAHMY AHMAD