fb fb fb fb fb

Misi halal Johor-China buka peluang pasaran halal global

Majlis pertukaran dokumen MoU PIJ Halal Ventures Sdn. Bhd. dan Shandong Huifa Foodstuff Co. Ltd

JOHOR BAHRU, 8 November - Misi pelaburan Johor ke China mencatatkan kejayaan besar selepas termeterainya memorandum persefahaman (MoU) bersama Syarikat Huifa Food Supply Chain Technology dengan nilai pelaburan RM10 bilion.

Exco Hal Ehwal Agama Johor Mohd Fared Mohd Khalid menerusi hantaran Facebook, kerjasama strategik dengan Perbadanan Islam Johor (PIJ) Halal Ventures itu, memperkukuh perdagangan halal Malaysia–China, serta membuka peluang baharu dalam pasaran halal global.

"Projek dijangka menjana nilai eksport sekurang-kurangnya RM100 bilion sejajar Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030 bawah Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).

"Langkah strategik ini memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab utama halal ASEAN, membuka ruang pelaburan baharu, peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, serta pemindahan teknologi yang akan mempercepatkan transformasi ekonomi negeri menjadi sebuah negeri maju sebagaimana hasrat dan pacuan pembangunan yang digagaskan oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi," menurut hantaran itu.

Shandong Huifa Foodstuff Co. Ltd, syarikat tersenarai awam berpangkalan di China, merupakan peneraju industri makanan halal yang kini bersedia melabur di Johor.

Pelaburan berimpak tinggi itu meliputi sektor strategik seperti makanan sejuk beku, farmaseutikal halal, fesyen, bahan ramuan halal serta perkhidmatan pelancongan berasaskan halal.

Majlis pertukaran dokumen MoU berkenaan disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sempena Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) Shanghai 2025, di China. 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI