fb fb fb fb fb

Projek Penyuraian Trafik Juru-Sungai Dua, pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri

Foto RTM

SEBERANG JAYA, 8 November - Projek Penyuraian Trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua bakal menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu di kawasan Seberang Perai, khususnya Bukit Minyak, Juru dan Sungai Dua.

Ia membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan merancakkan aktiviti ekonomi, sekali gus meningkatkan kualiti hidup rakyat setempat.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata kepadatan penduduk yang semakin meningkat serta pertumbuhan pesat sektor industri, mendesak keperluan projek tersebut di negeri berkenaan.

Sehubungan itu beliau komited untuk terus memberikan komitmen penuh dalam aspek perancangan, penyelarasan serta kelulusan teknikal supaya ia dapat dilaksana dengan cekap dan selamat.

"Kerajaan negeri Pulau Pinang percaya bahawa pembangunan infrastruktur seperti projek penyuraian trafik ini akan terus mengukuhkan daya saing negeri. Ia sejajar gagasan Visi Penang 2030 yang menekankan keseimbangan antara kemajuan ekonomi, kesejahteraan sosial dan kelestarian alam sekitar," katanya di sini.

Beliau berkata demikian semasa berucap bersempena Majlis Pecah Tanah Projek Penyuraian Trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua di Tapak Expo Seberang Jaya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir menyempurnakan program tersebut.

EZA YUSMAWATI YAACOP