JOHOR BAHRU, 8 November - The Star Karnival: "Cuti-Cuti Malaysia 2025" di Johor Bahru, Johor, dimanfaatkan sebagai platform interaksi perniagaan ke perniagaan (B2B), bagi memperkukuh pelancongan rentas sempadan negara.
Karnival edisi kelima itu turut menampilkan penglibatan pemain industri tempatan dan Singapura, bagi tujuan padanan perniagaan serta memperkenalkan pakej pelancongan baharu.
Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Lee Thai Hung berkata, sesi berkenaan turut membuka ruang penerokaan destinasi bukan konvensional di luar pakej pelancongan sedia ada.
"Ini adalah part (sebahagian) daripada intipati khususnya dalam mempromosikan Malaysia yang kita mempunyai keperbagaian kaum dan juga makanan. So, kita nak introduce (memperkenalkan) kepada lebih (ramai pelancong)."
"Di Johor, kita dapat fokus kepada cross border tourism (pelancongan rentas sempadan) khususnya kepada (pelancong) daripada Singapura supaya mereka boleh banyakkan lagi Singaporean (warga Singapura) ataupun foreigners (pelancong asing) yang masuk melalui darat ke Malaysia, melalui (pintu) gerbang di Johor," tambahnya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui media dalam majlis perasmian The Star Karnival: "Cuti-Cuti Malaysia 2025" di Paradigm Mall, Johor Bahru, Johor.
Selain destinasi di selatan, karnival itu turut mempromosikan destinasi dan juadah tradisional seluruh negara, termasuk keunikan Sabah dan Sarawak.
Pendekatan tersebut bukan sahaja memperkukuh promosi pelancongan Malaysia, malah menarik kehadiran pelancong Singapura menjelang Tahun Melawat Malaysia dan Johor 2026.