fb fb fb fb fb

Rehat cukup, elak 'microsleep' yang membawa padah

Ketua Unit Kecergasan dan Pematuhan Pengguna, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr Sharifah Liew

KUALA LUMPUR, 8 Jun- Hanya beberapa saat terlelap ketika memandu boleh membawa padah. 

Ketua Unit Kecergasan dan Pematuhan Pengguna, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr Sharifah Liew mengingatkan pengguna jalan raya agar tidak memandang ringan risiko 'microsleep' (tidur singkat) yang terbukti menjadi punca utama kemalangan maut, terutamanya ketika memandu jauh.

Menurut beliau, walaupun masyarakat sudah maklum tentang bahaya 'microsleep', masih ramai yang memaksa diri untuk meneruskan pemanduan walaupun dalam keadaan letih dan mengantuk.

“Microsleep untuk beberapa saat semasa memandu… dan beberapa saat itu lah akan berlaku banyak benda, kemalangan dan sebagainya. Jadi, biasanya kalau 2.5 saat sekejap ataupun kurang 10 saat", jelasnya selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Wisma Berita, Angkasapuri.

Tambah beliau, rehat yang mencukupi adalah langkah paling penting dan berkesan dalam mengelak 'microsleep'. Ia lebih penting berbanding bergantung semata-mata kepada teknologi seperti kereta pintar atau sistem bantuan pemandu.

“Pesanan saya, kita tak boleh sangat bergantung kepada teknologi. Tak boleh. Yang penting kita manusia itu sendiri kita cukup rehat dan kita memang fizikal fit dan mental fit sebelum memulakan perjalanan dan sepanjang perjalanan.” ujarnya lagi.

MIROS turut menyarankan agar pengguna jalan raya sentiasa merancang perjalanan lebih awal, berhenti rehat setiap dua jam dan tidak memandu secara bersendirian untuk tempoh yang panjang, terutamanya pada waktu malam.

ROSLINA BINTI DIN