
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Tiada larangan terhadap anggota pentadbiran kerajaan untuk dilantik sebagai ahli lembaga pemegang amanah yayasan yang didaftarkan sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG).
- Penubuhan dan operasi yayasan tertakluk kepada Akta Syarikat 2016 dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
- SSM mengawal aspek kewangan serta penggunaan hasil yayasan berdaftar.
- Setiap yayasan mesti mengemukakan penyata tahunan dan penyata kewangan beraudit kepada SSM.
- SSM akan memastikan keuntungan dibelanjakan menurut objektif perlembagaan dan akan mengambil tindakan jika ada aduan salah laku.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata perkara itu selari peruntukan Seksyen 45 Akta Syarikat 2016.
Jelasnya, penubuhan serta operasi yayasan berkenaan tertakluk kepada akta itu dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), termasuk dari aspek kewangan serta penggunaan hasil.
Setiap yayasan berdaftar perlu mengemukakan penyata tahunan dan penyata kewangan beraudit kepada SSM untuk penelitian.
“SSM sebagai agensi pengawal selia dan pendaftar syarikat berhad menurut jaminan akan memastikan operasi serta sebarang keuntungan yang diperoleh hanya dibelanjakan bagi mencapai objektif penubuhan seperti dinyatakan dalam perlembagaan yayasan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, SSM akan mengambil tindakan sekiranya menerima aduan berkaitan salah laku terhadap mana-mana entiti di bawah kawal selianya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, pada Sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini.
Datuk Rosol membangkitkan persoalan mengenai ketelusan kewangan dan penggunaan hasil susulan penglibatan anggota pentadbiran kerajaan sebagai pemegang amanah Yayasan MADANI yang mengendalikan MADANI Mart.