fb fb fb fb fb

Tiada krisis bekalan telur ayam - KPDNHEP P.Pinang

GEORGE TOWN, 12 Jun - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini menafikan Pulau Pinang sedang menghadapi krisis bekalan telur ayam sebagaimana yang dilaporkan sebuah media baru-baru ini.

Timbalan Pengarah KPDNHEP Negeri A.Mogan berkata berdasarkan tinjaun dan maklumat yang diperoleh daripada penternak dan pemborong kebanyakkan mereka memberitahu bahawa stok atau bekalan telur ayam Pulau Pinang adalah stabil.

"Sepanjang tempoh 1 Januari hingga hari ini, pihak KPDNHEP Pulau Pinang tidak ada menerima aduan daripada mana-mana peniaga dan pengguna berkenaan isu kekurangan bekalan telur ayam di pasaran untuk negeri ini.

"Namun tidak dapat dinafikan berikutan cuti sekolah kemungkinan permintaan terhadap telur ayam agak tinggi dan pihak kami akan sentiasa memantau harga telur bagi memastikan tidak berlaku pengambilan untung yang tidak munasabah oleh mana-mana pihak dibawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mogan yang juga Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Pulau Pinang seterusnya mengalu-alukan aduan dari pihak pengguna sekiranya menghadapi masalah berkaitan bekalan, mahupun harga telur.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan sebuah akhbar berhubung krisis bekalan telur di negeri ini dijangka berlarutan hingga Ogos depan ekoran tindakan penternak menjual ayam hidup atau ayam telur yang mendapat permintaan tinggi di peringkat pengilang atau pembekal.- BERNAMA

Media Baharu