PUTRAJAYA, 11 November- Kementerian Kewangan mengesahkan jumlah perbelanjaan Kerajaan Persekutuan semasa pentadbiran lalu untuk pengiklanan, promosi dan publisiti dalam menghebahkan agenda kerajaan adalah mencecah RM700 juta.
Jumlah tersebut adalah bagi tempoh tiga tahun iaitu 2020 hingga 2022 semasa dua pentadbiran lalu.
"Perbelanjaan itu digunakan untuk menguar-uarkan pencapaian dan usaha kerajaan melalui semua platform media massa termasuk papan iklan, media cetak, media elektronik (televisyen dan radio) serta media sosial.
"Kebanyakan perbelanjaan bagi tujuan berkenaan adalah diselaraskan oleh Pejabat Perdana Menteri," menurut kenyataan.
Sementara itu, tiada kontrak komunikasi baharu dianugerahkan bagi tahun semasa 2023 untuk pentadbiran Kerajaan Madani kerana terdapat lebihan nilai kontrak komunikasi yang dimeterai semasa pentadbiran lalu tidak dibelanjakan pada tahun 2022.
"Untuk tahun 2023, perbelanjaan komunikasi Kerajaan MADANI setakat ini telah menggunakan hanya sebahagian lebihan nilai kontrak komunikasi pentadbiran lalu iaitu sebanyak RM56.9 juta.
"Bagi tahun hadapan, pentadbiran Kerajaan MADANI akan mengurangkan perbelanjaan bagi pengiklanan, promosi dan publisiti untuk tidak melebihi RM100 juta iaitu separuh daripada nilai purata perbelanjaan sebelum ini," tambahnya.